Friday, 26 September 2014

cerita semalam

Masa yang berlalu tidak akan dapat digapai walau sehebat mana pun usaha untuk melakukannya. Setiap insan ada kisah silam masing-masing, baik atau buruk biar Tuhan sahaja yang menentukan. 

Kadang-kadang kita tersilap langkah dalam mencatur perjalanan ke arah impian yang dikejar, lupa atau alpa dengan tujuan yang berupa fatamorgana dunia. Berkali-kali terjatuh, bangkit semula ke arah yang sama. Dimana akal dan fikiran, sudah terjelepok tetapi tidak mahu mengenang kesilapan. Angkuh dengan pemberian Tuhan, syukur atas nikmat kau abaikan.

Jalan itu sudah tersedia, terbentang luas dihadapan. Sama ada, kau dikaburi atau dibutakan terus dari melihat arah perjalanan tersebut itu terserah kepada diri kau sendiri. Jangan gentar jika jatuh, jangan sombong ketika berada di atas. Pengalaman membuat kan kau matang dalam membuat keputusan, usah terburu-buru kerna darah muda, tapi jangan dinilai akal fikiran dengan usia.

Apa yang terjadi, sudah temaktub dalam hidup kau, selok-belok perjalan kau yang harung tapi mana pengajaran yang berkarung itu diusung?? 

Berhenti dan berfikir 
Kelak ada jawapan,
Bukan menjadi jahil,
Berlegar dalam kegelapan. 

Thursday, 21 November 2013

Rantaian Diri

 Kecundang aku di dalam gelanggang dunia,
Tergolek- golek tersembam ke bumi,
Tersumbat jauh ke dalam lembah yang hina,
Mencari-cari siapa kau diri ini.

Kerap kali memikirkan diri,
Hingga terlupa Pencipta Esa,
Tiada guna menangis lagi,
Gerak kan diri mencari syurga.

Jika jatuh bangun lah kembali,
Sapu lah kotoran di seluruh badan itu,
Masih beruntung kau mencari diri,
Kerana DIA masih bersamamu.

Satu persatu aku rempuh,
Tetapi sangkut di tengah jalan,
Aku berharap tapak ku masih utuh,
Untuk melangkah walau setapak ke depan.

Hanya satu yang sempurna,
Aku hanya hamba hina,
Maafkan aku wahai Pencipta,
Aku sedar dan aku terima.

Friday, 5 April 2013

Isi.

Memang itu satu tompok hitam yang nampaj di atas rentangan kain putih,
Bukan mudah ingin menyucikan sesuatu yang di anggap jelik.
Warna itu bagai mencemar  si rentangan kain,
Tetapi itulah tinta kata yang di rasa pahit,

Ditelan-telan tidak dapat, 
dikunyah-kunyah tidak larat,
Dikumam-kumam masih berbekas, 
Sukar si pengata menerima hakikat,

Terlintas tidak, berdetik pun tidak.
Aku hanya menyerah takhta,
Takhta untuk meletak istana,
Kerna kau merasa susah nya,

Aku masih hitam, dan kau masih putih.
Aku menjadi kelabu kau masih putih,
Aku menjadi hilang kau masih putih,
Aku hanya berubahan segamak-gamaknya.

Friday, 30 November 2012

Solihin Bahagian 2.

Menjadi kebiasaan dan sentiasa terngiang di telinga, "sentiasa lupa dan alpa". Kejanggalan yang terdapat pada diri Solihin semakin hari semakin pudar kerana kesan terus menerus dididik dengan kepalsuan yang mengaburikan segala mata. Kegilaannya terhadap fatamorgana dunia kian menjadi-menjadi dan semakin hari semakin jauh dia dari tujuan sebenar.

Sudah tertulis perjalanan anak muda itu dengan sebegitu rupa, biar dia mengenal erti dunia yang mengelirukan segala indera. Melalui cara ini, dia dapat tahu mana itu permata dan mana itu kaca. Jalan-jalan yang dilaluinya, memberi dia erti sebenar apa yang dikejar dan apa yang dikendong. Solihin semakin mencapah jauh dari jalan janggal itu.

Jalan itu banyak cabangnya dan setiap cabang ada ceritanya dan jangan kau menilai dari awal perjalanannya.
Dia leka dan hanyut di buai buaian dunia. Pelbagai jenis hiburan menjadi satu sumber kegembiraan kepadanya. Segala jenis minuman menjadi kegemaran, tiada batasan dalam senda dan gurau nya.
Separa sedar atau dala keadaan ektasi yang tinggi menjadi penyelesai segala masalah serta pelupa kegundahan nya. Jauh!! amat jauh Solihin lari.

Solihin mempunyai harta yang melimpah ruah. Segala keinginannya boleh didapati sekelip mata. Aset itu digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa puas. Tamaknya menjadi-jaddan dia tidak pernah jatuh atau tersadung di jalan kebahagiannya itu. Solihin sentiasa berada di atas, tiada yang dapat menandinginya. 

Dunia ini sementara, usah kau gah dengan pemberianNya.
Solihin dihulur berbagai-bagai jenis idea, kuasa, dan ilmu pengetahuan dan semuanya ditolak mentah-mentah tanpa perbincangan. Dalam berkehendakkan dia tetap ada egonya dia tidak mahu hanya yang biasa. Solihin inginkan sesuatu yang membuat dia dipandang semua. 

Pada satu masa hening, dia di hulurkan sesuatu yang dikejar oleh semua. Matlamat dia hanya satu, iaitu melengkapkan yang dikejar itu, dan perlahan-lahan diri nya berpusing menyembah bumi yang nyata.

 

Wednesday, 21 November 2012

Solihin.



Berteriak tangisan si kecil memenuhi segenap ruang di dalam sebuah rumah mewah yang dihiasi dengan keindahan yang dapat mengaburkan mata seseorang yang mengejar kepalsuan sementara. 



Suara si kecil itu, kedengaran nyaring sekali dan menampakkan kegembiraan kepada segala isi rumah tersebut, baik dari tuan rumah hingga kepada tukang gaji yang berada pada malam itu.

Derap langkah laju menuju ke bilik di mana tangisan itu berpunca, dilihat suasana yang pada awalnya gusar dan gelisah bertukar kepada senyuman dan tangisan gembira. Seorang putera yang dinantikan kelahirannya akhirnya muncul jua di atas dunia ini. Sebaik sahaja pintu bilik itu dikuak dengan perlahan oleh tangan yang penuh dengan keringat kerisauan, tangisan itu terhenti dan mata si kecil itu memandang tepat kepada anak mata seorang lelaki yang berada di pintu tersebut.

Keadaan itu, membuatkan semua pihak terkejut melihat pada situasi tersebut. Lelaki itu menghampiri si kecil tersebut dan mengambilnya daripada tangan bidan yang memegangnya lalu di usap kepala si kecil itu dan lantas si kecil itu tersenyum kecil. 

Si kecil itu menjadi pengubat kepada kesunyian rumah mewah tersebut, setiap hari ada sahaja kerenahnya dan setiap satu itu sedia dilayan oleh semua. Si kecil itu di beri segala kemahuan, tetapi kehendaknya amat berlainan sekali. Dikala kanak-kanak lain inginkan permainan, dia inginkan sebuah buku dan di mana kanak-kanak lain ingin kan hiburan dia ingin berada di tempat sunyi.

Dia lah seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Solihin, kelakuan peliknya itu sudah menjadi kebiasaan setiap isi rumah tersebut dan tiada yang menentang. Kemewahan yang diberikan tidak langsung menggugat hati si kecil tersebut kerana dalam hatinya ada sesuatu yang menghalang kepalsuan tersebut daripada terus menjalar dalam dirinya.

p/s: akan bersambung.

Monday, 19 November 2012

Sinonim Si Sungai.

Mengalir sungai daripada hulu ke hilir nya seperti kehidupan yang ada awal dan akhirnya. Liku-liku yang dilalui umpama masalah dan halangan dalam kehidupan kita seharian. Pasang dan surutnya bagaikan turun dan naik nya iman seseorang dalam mengharungi perjalanan kehidupan. Daripada jernih kepada keruhnya seperti dinoda perbuatan kita sendiri bernama manusia.

Aliran air sungai itu berterusan seperti masa yang berlalu, kita tidak akan dapat mencelupkan tangan pada tempat yang sama ketika aliran itu. Begitu juga masa yang berlalu tanpa boleh kita putarkan semula. Hargai masa itu sebaiknya.

Setiap hari air sungai itu akan menghakis tebing, dan membuka laluan yang lebih luas. Umpama kita menimba ilmu tidak henti-henti bagi meluaskan pemikiran dan boleh mengeluarkan idea-idea yang bukan mainan.

Kadang-kadang gelap menyulubungi tetapi diri masih beerti dan jangan berhenti.

Jadilah sumber yang berguna pada sekeliling, sama ada yang hidup mahupun yang mati. Jangan mementingkan diri sendiri dalam meniti hari-hari akan mendatang. Siapa pun kita, kita tetap sama, sebagai hamba kepada Maha Esa. 

Setiap noktah ditulis bersebab, setiap lukisan dilakar beradab. Jangan menjadi seorang yang biadap, berlaku ingkar dalam mengadap.

p/s: Dilontar batu kau berkocak dan diam, diturun hujan kau tampung dan bawa. Pada ketika kau membawa bah yang besar memberi kesedaran pada dunia.

Pray For Palestine.

Sunday, 2 September 2012

Penipuan.

Jika dihitung dengan bilangan terlalu banyak pembohongan yang telah ku lakukan dan mengalami rasa tertipu yang benar-benar membuat hati ini meluap-luap dengan kemarahan sehingga merembes air mata menahannya.

Kesakitan sementara dirasakan jika diri ini tertipu dengan pembohongan seseorang dan kesakitan yang berterusan menjalar dalam hati ini jika diri ini menipu diri nya sendiri tanpa mahu merendahkan ego yang menyatakan aku mampu bertahan dan masih tegak berdiri.

You never know what are waiting for you until you take that path.
 
Apabila diri ini mampu menyatakan benar dengan diri baru aku faham erti senyum tanpa duka. Menerima kejadian dengan senyuman yang beerti kesyukuran kerana ia telah dirancang dan sejauh mana kau berlari ia akan mengikuti diri.

Berjalan atas jalan yang dicipta, berubah mengikut kuasa Yang Maha Esa. Jangan gusar pada senjata minda, kuat kan hati lemparkan idea. 

Monday, 27 August 2012

Mengejar Kepuasan.

Jari jemari kembali ketagih agak nya nak menulis satu perkara yang terlampau luas aspeknya dan menjadi igauan aku dari masa ke masa. Tidak dinafikan setiap orang ada tafsiran kepuasan mereka tersendiri kerana setiap hati mempunyai kegilaan masing-masing dan keberangkalian sama itu tetap ada.

Ingin mendaki akan didaki yang paling tinggi. Ingin menuruni akan dituruni yang paling dalam. Setiap perbuatan ingin yang terbaik sama ada di pandangan mata sendiri mahupun pandangan mata luar yangh sentiasa tertancap mencari ruang-ruang kesalahan yang nyata dan boleh dipertikaikan.

Seek the world inside you without bothering the world outside you
 
Ramai yang menggunakan perkara kebanyakkan untuk mencari kepuasan dan dalam mengejar kepuasan tersebut masih ada yang tidak dapat mengawal diri mengenai batas-batas nya. Beringat dalam sesuatu perkara menjadikan kau arif dalam hal sekeliling.

You seek for One and you get for many. You seek for many you found nothing, just and endless searching without a stop.

 


Saturday, 30 June 2012

Perasaan.

Sesetengah menjadikan nya sebagai tunggangan yang dikawal dan dijaga rapi untuk bekerja pada waktu-waktu dan tempat-tempat sepatutnya. Tidak pula dilupai yang dijadikan tunggangannya yang menurut lempiasnya.

Keputusan berlandaskan nya akan menampakkan cela pada ketikanya. Dan aku juga terjebak dalam gelumang itu. Mentafsir sesuatu tanpa ada landas dan aku menjadi celaru dibawa arus perasaan itu.

Kecelaruan itu mencampur aduk kan segala pertimbangan.
 
Tangisan dan kecelaruan itu menjadi akrab. Dimana aku keliru disitu air mata ku bergenang. Aku menjadi terlalu berprasangka dan berkehendak. Cubaan melepaskan diri hanya sementara, dan kini aku direman dalam menara tahanan perasaan itu.

Kesemua itu menjadi terkawal dengan perlepasan dan penyerahan, tiada ragu dan sangsi dalam perjalanan. Berjalan mengikut arah tujuan dan mencari watak dan skrip Editor itu.

Seperti puzzle ia memerlukan kesabaran dalam penyelesaian.
 
Jangan di isi diri dengan perasaan sendiri, cuba selami sekelilingmu dan rasai lah mereka dan cuba memahami. Jangan membuta tuli menghambur kata-kata tanpa pasak yang kukuh dan jangan sesekali membisik di hati perbualan tanpa tiang itu.

p/s: celaku masih ada, palitku masih tiada tercuci, jangan kerana kekotoran itu engkau menolak kebersihan pada laku dan katanya.

Sunday, 24 June 2012

Fast Talker.

Setiap butir-butir perkataan yang di luah kan kadang-kadang menggamit persona seorang pendengar yang setia. Setiap inci kata di ambil perhatian dan cuba menafsirkan susun atur ayat yang dikeluarkan tersebut. Tapi kalau yang bercakap terlampau laju mengeluarkan kata-kata, satu patah pun tidak difahami.

Insan yang berkata-kata laju ini mungkin untuk menyembunyikan kegugupan bila berhadapan dengan khalayak ramai dan berusaha tampak yakin dengan bercakap dengan kadar laju dan berharap masa berlalu dengan pantas dan segera beredar dari tempat tersebut.

Selain itu, berkemungkinan juga daya reflek si "fast talker" nie tinggi dan cepat mentafsirkan maklumat dan menjawab soalan dan pertanyaan dengan segera tanpa memikirkan dalam-dalam jawapan tersebut dan mugkin juga berkaitan dengan membuat keputusan terburu-buru.

Tetapi mungkin juga dia memang seorang yang bercakap laju dan sukar mengubah nya. Jika begitu buat apa pun tiada kesan atau pun hanya sementara.

Oleh itu, kalau ketemu orang bercakap laju bertolak ansur lah, dan tidak salah untuk meminta dia untuk mengulangi percakapannya kecuali memang dia nak cakap benda tu sekali je sebab segan. :D

p/s: I am a fast talker but i am also can be a slow one but that so not me. :D

Thursday, 21 June 2012

Sabar.

Kau masih boleh senyum tertawa ketika dalam keperitan, ketabahan itu tidak akan dapat dibeli di pasar pagi ia di anugerah dengan tingkat kesabaran serta latihan kepercayaan. Jangan mengeluh kesah dengan kisah ketika ini, Dia memberi apa yang kau mampu hadapi.

Onak dan duri satu laluan biasa bagi perjalanan ini. Calar dan luka menjadi koleksi yang memberi pengalaman dan kesan. Kadang-kadang di curah cuka menampah kepedihan. Itu adalah untuk memberi peringatan kepada perwatakan.

Genggam tanganmu, tundukkan kepala mu kuat kan hati mu untuk melaluinya. Usah gentar Dia sentiasa ada untuk mu dan kami sahabatmu akan berada di sampingmu. 

p/s : Jangan sedih ok. senyum selalu.

Tuesday, 19 June 2012

Merah senja

Ketika ini aku diusik perasaan aneh, terlampau letih bagi ku untuk melangkah jauh ke hadapan.
Aku terasa dipinggiran amat berjauhan dan hati menahan perasaan. Tiada berdaya lagi bagi ku mengambil tahu semua perkara itu.

Bergenang air mata memikirkan salah diri pada Pencipta. Aku tunduk malu, sedangkan aku masih berada dalam nikmatnya. Kelalaian tidak akan lekang dari kehidupanku, dan berulang-ulang kali ia diperlakukan.

Aku tiada menyesal dan tiada terasa sakit. Aku masih digagahkan Dia untuk melaluinya dengan penuh dengan pengajaran. Keluhan aku buangkan jauh-jauh mendidik diri menjadi setegak-tegaknya. Dipertajamkan pemerhatianku untuk disisip isi dalam hati.

Jangan disisih, dan jangan dipinggir.


Merah senja menitip kesyahduan, perjalana masa itu tidak akn terhenti, kau dikejar atau mengejar, hanya hargai atau kau rugi. Sedetik demi detik kau menyalahi itu dan ini sedangkan diri itu dicermin akan retak seribu menimbulkan pertanyaan sangsi.

Jangan kau menjadi orang yang  rugi dan bersederhanalah dalam segala hal. 

Jangan berlari jauh meninggalkan alam. Medannya juga ada disitu sebagai sumber kebudayan.

p/s: Kekeliruan menjadikan kau lebih faham perbedaan, jangan di abai yang kiri dan jangan di sanjung yang kanan. Lihat dengan hati, cerna dengan akal dan landaskan dengan kedua tali pemberiaan.

Tuesday, 12 June 2012

Rintihan Bermonolog.

Ketika aku duduk di satu tempat, terlihat semua berkejaran bersama-sama masa. Mendahului apa yang patut dan kemudiankan apa yang kurang kepentingannya. Aku tersenyum dan menghelakan nafas seolah-olah tiada apa yang berlaku dan semua mata tertancap ke arah ku kerana perlakuan itu.
 
Benda yang kelihatan janggal dan kadang-kadang memakan diri aku pada saat akhir kerana terleka dalam awalnya. Terlampau mengambil mudah dalam semua perkara sedangkan ku rasakan ku layan setiap nya serupa melainkan beberapa perkara.
 
Terleka sebentar aku akan hanyut dan aku juga hampir lemas kerana terlalu lama leka nya. Aku dihulurkan galah diselamatkan dan galah itu tidak pernah jerih membantu.

Selagi kau duduk selagi itu senyap.

Kesibukan mengejar dijadikan alasan,
Pandangan dikecilkan minda disempitkan,
Hati menjadi diam dan pergerakkan menjadi sumbang,
Tegak dalam satu bahagian dan berpura-pura tuli,

Alam dan diri menjadi kesebatian dulu,
Mencelah-celah antara dua,
Peningkatan tamadun membuatkan alpa,
Dan kini diasingkan.

Apa yang kau lihat,
Apa yang kau dengar,
Dulu menjadi siulan dan pedoman,
Kini bertukar arah pegangan.

Tiada salah kau merungkai,
Tiada salah kau meneka,
Sedangkan kau tahu mana patut dipaksikan,
Bukan mencari paksi baru yang jelas ciptaan.

Pencarian itu bermula sejak kau lahir lagi, kau sudah diberi peta dan petunjuk arah dan kau masih berpusing-pusing dalam mencari. Aku pun tiada kurangnya memerlukan pemandu pelancong yang tajam akalnya berbanding aku.

Merintih-rintih jiwa, menginginkan kedekatan dan perjalanan anggota semakin menjauh. Menangis semahu dan kau berpatah dalam arah itu.

p/s: Kelompok itu akan tidak ku lupakan dan akan aku berjalan bersama mereka.



Saturday, 9 June 2012

Saya terima nikahnya.

Satu sensasi baru menjalari urat-urat tubuh,
Terasa asing dan terasa biasa,
Amat sukar kata-kata meluahkan,
Umpama melayang-melayang di bawa bayu.

Tangisan menjadi satu, ketawa menjadi terikat,
Perjalanan lengkap pertama bermula,
Meniti titian kecil dipenuhi duri-duri kasar,
Beriringan dalam melakukan.



Bahu ini di galaskan dengan bebanan,
Tangan ini digerakkan menangkis serangan,
Disertai sepasang serupa dalam kelainan,
Memegang erat dalam kerinduan.

Dakapan halangan itu terasa kejap,
Meronta-ronta minta dilepaskan,
Ciuman kedamaian hinggap di dahi,
Menjatuhkan segala menjadi kosong.



Indah itu akan ku bawa hingga jatuh,
Manis akan ku rasa hingga ku terjelepok,
Kerna ku tahu satu tangan digerak,
Sebagai peneman dalam merintih.

Aku bukan pilihan,
Aku bukan ratapan.,
Kau bukan tujuan,
Kau cuma perjalanan.

p/s: Merungkai persoalan, menjumpai jawapan dan soalan kembali dan berulang-ulang menjadi rutin keindahan,

Tuesday, 5 June 2012

Merobek Maruah.

Sesuatu yang bernilai kau jaga, kau tutup supaya tiada siapa boleh melihat dan memasang niat jahat kepada yang bernilai itu. Aku hanya pemerhati yang selalu melihat kepincangan itu dan kadang-kadang aku akui aku terleka.

Keindahan itu menjadi tarikan jika kau memberikan perlindungan kepadanya. Kau memperagakan mungkin untuk kepuasan diri dan tiada memikir tentang sekelilingmu. Permata itu lengkap dengan bekasnya, tiada bekas hanya mungkin di anggap sebagai kaca.



Bukan satu pihak untuk dipersalahkan, tiada tuding menuding. Aku juga terbabit sama. Bukan mudah untuk mengubah sesuatu yang menjadi rutin, tetapi hingga bila kita merobek maruah sendiri dan sekeliling.

Dililit-lilit, ditarik-tarik hingga sesak memandang. Kadang-kadang bekas itu terlalu kecil untuk menampung permata indah tetapi tetap kau gunakan. Kau sedar kau menjadi tatapan tetapi kau biarkan. Jangan menghina diri dengan yang sedemikian.

Kau berlari menuju ruang tertutup itu, menaiki tangga. Satu persatu anak tangga kau daki dan satu ketika kau lelah dan terasa ingin menuruni. Mendaki itu payah dari menuruni tetapi apa yang ada di ruangan tertutup itu ada katil menanti untuk kau beristirehat.



p/s: anak mata sudah cukup menawan jika cukup keikhlasan.



 

Sunday, 3 June 2012

Ketika nafas tersentak dan kembali.

Sedikit demi sedikit datang menimpaku, satu persatu menimpa mendatangkan kegalauan dan hiba dan aku masih lagi boleh tersenyum dan ketawa dan berkata "sayang itu manis". Mungkin perjalanan kali ini menguji dan aku merasai setiap inci perasaan itu.



Kegembiraan diragut ketika waktu senja, bertempiaran lari sekumpulan haiwan ke arah ku kerana terperanjat dengan hentakan kuat kepada "ketua" mereka oleh sebuah kenderaan. Bunyi tayar mencengkam jalan memekak kan telinga sebentar dan kenderaan itu meluru ke arah ku.
 
Syukur, aku masih diperhati Nya dan digerakkan Nya untuk melompat dan keluar dari kancah bahaya itu, sekelip mata ia berlaku dan masih meninggalkan kesan padaku. Tangisan gundah menjadi teman kerana perlakuan.

Watak pembawaan aku masih belum selesai selagi aku berdiri tegak. Bergerak mengharungi dengan kurnia. Mendabik dada tiada hanya tunduk melata. Cinta diraih dan ditagih tetapi dengan pengorbanan yang gigih.



p/s: Nyawa itu satu di dunia jangan kau sia-sia.

Tuesday, 22 May 2012

Stalker.

Kadang-kadang aku tergelak ketawa, kadang-kadang terduduk terkesima dan kadang-kadang aku berada di hadapan cermin mentelaah diri. Perbezaan itu jauh dan aku cuba kecapi kernaNya.

Bernasib baik mungkin tiada 'notification' muncul ketika seseorang mengintai profile. Mungkin juga yang akn segan tersipu-sipu malu jika terdapat keadaan yang sebegitu. Mana tidaknya asyik-asyik muncul orang yang sama. Yang kena intai pula mungkin sudah berfikiran macam-macam tentang si pengintai. :D

Haa!!! kan da kantoi. :D


Tidak salah mengintai, mungkin untuk mengenali. Tetapi jangan tersalah intai sudah, nanti ada yang kena batang hidung sendiri. 

Minta pada empunya sang diri, kan lebih baik begitu kalau tiada ketahuan ingin berbuat apa-apa, tiada kesalahan berusaha tetapi jangan melampaui garisan tetapan. Jika sudah ketemu, perlahan-lahan suarakan kepada wali teruskan pergerakkan. 

Ok yang nie saya tipu.


KeadilanNya tiada tolok bandingan, Dia memberi keperluan bukan kehendak, Dia memberi kelengkapan bukan kekurangan. Terbaik hanya untuk si terbaik. Jangan mudah melatah, bersabar sedikit tiada rugi kalau bersabar banyak lagi tidak rugi.

p/s: Bila lah aku nak kawen nie..:D 

Monday, 21 May 2012

Dua dan satu (21)

Masih tidak terlambat bagiku mengucapkan pada diriku. :D


Umur semakin meningkat dan aku sudah mencecah ke arena 20-an. Terasa seperti semalam baru aku menjejak kan kaki ke zaman persekolahan ketika itu tiada masalah hendak difikirkan hanya berpandukan arahan dan melihat perbuatan. 

Kadang-kadang aku terasa di igau dengan kenangan lalu yang membuatkan aku terduduk terjelepuk. Gelap pandangan seperti tiada arah dan cahaya di hadapan. Tetapi tragedi itu membuatkan aku menjadi seorang yang matang dalam berfikir dan menjadi satu rahsia hanya aku dan Dia yang mengetahui.

Alunan melodi itu akan terus berkumandang sehingga tali itu putus.


Mungkin agak pelik, tetapi aku merasa gembira dan bertuah kerana tragedi itu berlaku pada awal usia ku ingin mengenal dunia dan aku sedar untuk bersiap sedia. 

21 tahun aku bernyawa dan memikir apa yang telah aku lakukan sepanjang kurniaanNya itu. Masa terbuang dan menjadi luput. Tiada perulangan hanya perjalanan.
 
 Jangan takut menempuh kegagalan, kelak ia membawa seribu pengajaran. Alhamdulillah.

p/s: terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengingati. Hati ini sudah ada tujuannya.
:D


 

Friday, 11 May 2012

Keramaian yang dirindui.

Satu ruang yang dipenuhi idea-idea melampaui minda dan memberi satu impak positif kepada yang berfikiran terbuka. Tiada perbalahan hanya perbincangan, setapak demi setapak mendaki perjalanan.

Terasing dari pandangan orang sekeliling, bagai kan sepi dalam kebisingan. Tetapi hingarnya memecahkan telinga. Merindui suasana itu, secangkir minuman menjadi teman. Satu persatu idea dilontar menjawab satu persoalan yang menimbulkan satu persoalan yang lain.

Merah di dalam gelap.


Pelbagai anugerah diberi Nya, Pelbagai cara penggunaannya. Usah yang kecil yang besar pun menjadi sasaran gelak ketawa. Hubungan itu terlampau kuat, rindu itu menjadi perantaraan. 

p/s: wahai teman sekalian, aku ingin berada dalam keramaian kedamaian. 

Monday, 7 May 2012

Mengetuk Jiwa.

Menjadi satu lumrah atas setiap insan, mencintai keindahan. Mata yang mencari kecantikkan, telinga yang mencari kemerduan dan hati yang mencari ketenangan. Tiada yang salah dalam perlakuan sebegitu kerana kita diberi pilihan dan setiap insan mempunyai tafsiran indah itu tersendiri.

Begitu juga aku, kadang-kadang seperti mencari intan yang terbaik di kalangan intan yang terbaik. Aku tidak ambil endah tentang kata belakang aku yang mengatakan aku terlampau mencari kesempurnaan tidak menerima apa yang sedia ada.

Aku bukan seorang yang sempurna dan tiada di kalangan insan ini yang sempurna. Sempurnanya seseorang itu apabila ia ketemu yang melengkapi.



Tidak aku kenal lebih, tidak aku ambil tahu lebih. Aku hanya sekadar memerhati daripada jauh kerana takut jatuh. Walaupun aku bijak dalam mengenali sikap tetapi tidak aku kenal seorang yang bernama. 

Sekadar mimpi dan igauan menjadi peneman. Sekadar bersua muka cukup menggoyahkanku. Cukup menepati cita rasa. Cukup segala isi dan inti yang menjadikan kemolekan itu terselah.

Bejubah hitam, putih berseri. SubhanaAllah. :D


Aku tidak terlalu berharap kerana aku percaya ketentuan Dia. Biar aku lengkapkan diri ini sebelum aku ingin menerima kemolekan itu. Sabar dan tabah mengharungi.

p/s: Jiwang sangat eyh. :D